Usai Sudah Kem Tahfiz Anak Soleh 2013
Alhamdulillah… Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya, Kem Tahfiz Anak Soleh 2013 (KEMTAS2013) telah berlangsung dengan jayanya bermula dari 29 November 2013 hingga 7 Disember 2013 yang lalu. Cuaca yang kadangkala hujan tidak begitu mengganggu kelancaran program kerana sesungguhNya ada rahmat disebalik setiap kejadian Allah s.w.t.
KEMTAS 2013 bertemakan “Anak Soleh Mahkota Ibu Bapa” itu berjaya menarik kehadiran peserta banin dan banat hampir 170 orang yang terdiri dari pelbagai latar belakang dan berasal dari beberapa negeri di Malaysia. Kem yang dijalankan di Maahad Tahfiz Waltarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring Kuala Terengganu itu telah diatur rapi dengan pelbagai program yang menarik dan bermanfaat untuk dibawa pulang oleh setiap peserta.
Secara ringkas, program yang diatur sejak awal pagi dimulai dengan Solat Subuh, Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah dari MTT. Tidak ketinggalan slot Praktikal Wudhu’ dan Solat yang dipimpin oleh Ustaz Abdullah Basri bagi peserta banin dan Ustazah Ummu Nurul Aiman bagi peserta banat sambil dibantu fasilitator KEMTAS2013.
Turut dimuatkan slot Kisah Dari al-Quran, Kisah Teladan, Tayangan Filem Animasi – The Last Prophet, Kembara Desa, dan penyampaian dari Cikgu Nor Effendi berkenaan Kaum Yang Pupus dan Pengembaraan Ke Destinasi Terakhir daripada Ustaz Mohd Khairul Nizam.
Slot selepas asar pula lebih santai dengan aktiviti berbentuk riadah dan sukaneka seperti memancing ikan, kembara desa, berkuda, berkereta kuda dan juga melihat burung unta dari jarak yang dekat. Setiap peserta banin berpeluang menunggang kuda dan peserta banat pula akan dibawa menaiki kereta kuda. Mereka turut berpeluang melihat burung unta dari jarak yang dekat.
Waktu malam pula diisi dengan slot mengenai Kehebatan Huffaz, Mudahnya Menghafaz al-Quran, Tanyalah Ustaz, Malam Kesenian, Ke Alam Baligh, dan juga Sentuhan Qalbu. Beberapa slot KEMTAS diasingkan antara peserta banin dan banat sesuai dengan pengisian program yang dijalankan.
Pada hari terakhir kem pula diisi dengan Motivasi Bersama Ibu Bapa oleh Mohamad B Ibrahim sebelum majlis penyampaian sijil kepada semua peserta. Turut ditayangkan slide gambar gelagat dan aksi peserta sepanjang KEMTAS 2013 sambil diperhatikan oleh ibu bapa peserta yang hadir pada majlis penutup tersebut.
Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua peserta, ibu bapa, guru-guru dan para pelajar yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran KEMTAS 2013.
ANAK SOLEH, MAHKOTA IBU BAPA. INSYAALLAH!!!
p/s : Gambar sekitar KEMTAS 2013 boleh dilihat di page Maahad Tahfiz Waltarbiyyah Darul Iman.