Pengisian #IhtifalMTT2015 Hari Kedua
#IhtifalMTT2015 diteruskan lagi pada 31 Julai 2015 dengan lebih banyak pengisian menarik dan berilmiah. Tidak dilupakan, gerai pameran dan jualan dari para pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) yang mewakili kelab dan persatuan masing-masing. Antaranya, Silat, Persatuan Bahasa Melayu, Kelab ICT, Pencita Sekolah dan beberapa lagi kelab dan persatuan pelajar MTT.
Penceramah jemputan kedua untuk slot Mahabbah Ilmu (Cinta Ilmu) pada hari Jumaat adalah Dr. Ahmad Jailani Abdul Ghani. Beliau merupakan seorang peguam syari’e yang sering dijemput untuk perbincangan isu-isu ilmiah terutamanya berkisar mengenai pelaksanaan undang-undang syariat Islam. Program telah dilangsungkan di Dewan Solat Masjid Jamek Tok Jiring itu dimulakan sekitar jam 9.00 pagi hingga 10.30 pagi. Slot Kuliah Dhuha itu membicarakan tajuk Falsafah Pendidikan Dalam Perlaksanaan Syariah dan telah berjaya menarik perhatian dari para hadirin yang terdiri daripada ibu bapa, guru dan juga pelajar MTT itu sendiri.
Pada pagi tersebut juga telah diadakan pemeriksaan kesihatan dan derma darah dengan kerjasama Hospital Sultanah Zahirah, Darul Syifa’, Refleksologi serta Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA). Para hadirin yang selesai mengikuti kuliah dhuha mengambil kesempatan untuk bersama-sama memberi sokongan terhadap program yang berlangsung pada hari tersebut.
Program diteruskan lagi dengan penceramah jemputan terakhir bagi slot Mahabbah Ilmu (Cinta Ilmu) iaitu Ustaz Norazli Musa atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Azli Taliban. Selain daripada menyampaikan tazkirah sebelum solat jumaat, beliau turut diundang sebagai Khatib Tamu bagi Khutbah Jumaat di Masjid Jamek Tok Jiring pada hari tersebut.
Alhamdulillah, semua program Mahabbah Ilmu berjaya menarik bilangan pengunjung yang agak ramai. Semoga semua pengunjung dapat memanfaatkan ilmu agama dan infomasi yang telah dikongsikan oleh tiga penceramah yang telah dijemput khas sempena #IhtifalMTT2015 ini. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Ustaz Nor Azariza Alawi, Dr. Ahmad Jailani Abdul Ghani dan Ustaz Norazli Musa diatas kesudian mereka meluangkan masa bersama-sama dalam program #IhtifalMTT2015.
Selepas solat Jumaat, program khas untuk lepasan pelajar dan bekas guru di Institut Berakan / Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman mengambil tempat kira-kira jam 3.00 petang di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring. Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang guru yang pernah menjadi pelajar dan tenaga pengajar di di Institut Berakan dan MTT sejak tahun 1977 hinggalah kini. Majlis juga turut diserikan dengan acara cabutan bertuah kepada semua tetamu yang hadir.
Pada sebelah petangnya pula, acara Demonstrasi Ular daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berlangsung. Ramai kanak-kanak dan ibu bapa mengambil peluang untuk melihat anggota JPAM menunjukkan demonstrasi menangkap ular dan juga penerangan serba ringkas mengenai penjagaan keselamatan ketika berhadapan situasi berhadapan dengan suasana cemas atau dipatuk ular. Aktiviti berkereta kuda juga masih disediakan pada hari tersebut. Aktiviti berakhir kira-kira jam 6.30 petang.
InsyaAllah, dalam edisi rangkuman #IhtifalMTT2015 yang seterusnya, kami akan kongsikan senarai penerima anugerah pada Majlis Haflatul Quran & Anugerah Kecemerlangan Pelajar MTT 2015. Kami juga akan kongsikan senarai pemenang bagi pertandingan hafazan peringkat KMTT yang dilangsungkan pada hari pertama #IhtifalMTT2015.