Hari terakhir #IhtifalMTT2015
Awal pagi hari Sabtu diisi dengan aktiviti gotong royong penyembelihan lembu untuk Jamuan Aidilfitri yang akan berlangsung serentak dengan penutup #IhtifalMTT2015. Seterusnya, acara Futsal Kampung mengambil tempat di Padang MTT dan Demonstrasi Masakan di Dewan Makan MTT. Sejumlah 9 buah pasukan telah mengambil bahagian dalam acara Futsal Kampung yang terdiri daripada pelajar UniSZA (1), Pelajar STAM MTT (1), Masjid Jamek Tok Jiring (1), KOMTAS (1), Lepasan Pelajar (2), Pelajar MTT (3). Acara bermula kira-kira jam 8.30 pagi.
Perlawanan berlangsung secara liga tiga kumpulan dengan juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dan baki satu lagi pasukan akan ditentukan melalui tempat kedua terbaik setiap kumpulan. Juara perlawanan tersebut adalah Syabab KOMTAS yang menewaskan BBAIF (Pelajar UniSZA) dengan keputusan 5-3.
Pada masa yang sama, turut berlangsung Demonstrasi Masakan oleh Chef Wan Fatimah Hanim bt Wan Azmi yang dijemput khas dari Inforana yang menunjukkan cara-cara penyediaan hidangan Hokkaido Cupcake & Fruit Tart. Guru-guru dan pelajar muslimat turut sama memeriahkan acara yang turut memberi peluang kepada para hadirin untuk mencuba membuat hidangan dan merasai hasil akhir hidangan yang disediakan.
Syukur ke hadrat Allah SWT, semua program yang dirancangkan berjaya dilaksanakan dengan baik. Penutup majlis diserikan dengan alunan lagu hari raya sambil menikmati jamuan aidilfitri. InsyaAllah, dalam rangkuman #IhtifalMTT2015 yang seterusnya, kami akan kongsikan sayap-sayap perjuangan pelajar MTT setelah menamatkan pengajian di MTT.