Jambori Umum MTT 2016.
Alhamdulillah, salah satu program dalam takwim tahunan Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) selesai dilaksanakan. Jambori Umum 2016 yang bertemakan Kental, Patuh & Tangkas Dalam Berjuang! telah pun selesai dilaksanakan pada 1 hingga 3 Mac 2016 yang lalu bertempat di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu.
Program selama tiga hari tersebut telah melibatkan kira-kira 600 orang pelajar dari semua tingkatan dan akan terlibat dalam pelbagai pengisian yang bertujuan melatih keupayaan dan ketangkasan dalam diri setiap individu. Peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan gerak kerja berpasukan dan pemantauan dari guru bertugas. Beberapa pengisian hari pertama termasuklah membina dan memasang khemah, penyediaan makanan, membina gadjet, seni mempertahankan diri, latihan kawad serta sessi kuliah maghrib dan juga bacaan surah al-Mulk.
Memasuki hari kedua diteruskan lagi dengan slot Qiamullail diawal pagi. Ia dituruti dengan solat subuh berjemaah dan juga tazkirah subuh oleh penceramah pilihan. Usai sarapan pagi, peserta terus bergerak untuk aktiviti pantai mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Menjelang tengahari, para peserta terlibat dalam pertandingan masakan menu rimba dan persediaan untuk makan tengahari. Pada sebelah petang, peserta akan di uji dalam aktiviti berkumpulan simpulan tali dan juga pertandingan kawad. Malam terakhir Jambori Umum MTT diisi dengan slot Malam Kesenian.
Hari terakhir Jambori Umum MTT, semua peserta dilepaskan untuk acara merentas desa kira-kira jam 8.30 pagi sambil dipandu arah oleh beberapa orang guru terlibat yang akan menjaga kawasan masing-masing. Acara merentas desa berakhir sekitar jam 12.00 tengahari. Setelah selesai menunaikan solat zohor berjemaah, peserta dikehendaki berkumpul untuk majlis penutup dan bersurai kira-kira jam 3.30 petang hari khamis.