Rehlah & Himpunan Pendidik Islam 2016
Alhamdulillah…. Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) terus memberikan komitmen jitu terhadap program Himpunan Pendidik Islam Peringkat Kebangsaan bagi tahun keempat berturut-turut. Edisi 2016 telah berlangsung di Dewan Tuan Guru Mu’allim Haji Abd Wahid di Bukit Katil, Melaka pada 21 Mei 2016. Program tahunan anjuran Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ini pernah dianjurkan di Kedah (2015), Kelantan (2014) dan Selangor (2013)
Bersempena PENDIDIK 16′, pihak MTT telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan rehlah guru & kakitangan ke Singapura serta beberapa tempat menarik di sekitar negeri Melaka. Perjalanan ke PENDIDIK 16′ bermula jam 6.00 petang khamis, 19 Mei 2016 dengan dua buah bas yang membawa kira-kira 80 orang warga kerja MTT menuju ke Singapura. Setelah selesai urusan imigresen, peserta terus menuju ke Muhammadiyah Association of Singapore yang terletak di Jalan Selamat Kembangan.
Sepanjang perjalanan kami di Kota Singa, kami telah diberi penerangan panjang lebar oleh Puan Juli dan En Rashid mengenai negeri yang suatu ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada negara kita, Malaysia. Peserta sempat singgah di beberapa lokasi menarik termasuk Masjid Sultan. Rombongan keluar dari negara Singapura kira-kira jam 5.00 petang dan terus menuju ke Johor untuk menunaikan solat dan makan malam.
Seterusnya, kami bergegas ke negeri Melaka untuk menyertai PENDIDIK 16′ di Bukit Katil, Melaka. Rombongan tiba di penginapan kira-kira jam 2.30 pagi dan semua peserta mengambil peluang untuk beristirehat secukupnya sebelum menghadiri PENDIDIK 16′ yang dijadualkan bermula jam 9.00 pagi yang diadakan berdekatan dengan penginapan kami.
Pendidik 16 dimulakan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Taman Cempaka, slot motivasi oleh Pencetus Ummah Fakhrul dan bacaan ayat suci al-Quran daripada hafiz cilik, Adik Haikal Firdaus bin Mohd Jaafaruddin Al-Hafiz. Penonton nyata mengkagumi dengan kebolehan seorang anak cilik yang berusia sepuluh tahun itu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Program, Mudir Maahad Ar-Rahmah yang merupakan penganjur bersama PENDIDIK 16′ dan juga Cikgu Normala Sudirman selaku presiden Pendidik.
Ketibaan YB Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Dato’ Dr Hj Haron Din nyata membangkitkan semangat warga pendidik yang hadir dalam PENDIDIK 16′ yang dianggarkan lebih daripada 1000 orang. Kemuncak PENDIDIK 16′ adalah Majlis Penganugerah Tokoh & Tokoh Murabbi Ummah 2016 yang disampaikan oleh TGHH berlangsung kira-kira jam 11.45 pagi. Berikut adalah senarai penerima anugerah bagi tahun 2016 :
TOKOH MURABBI UMMAH
Tuan Guru Dato’ Dr Haron bin Din
TOKOH PENDIDIK KEBANGSAAN 2016
Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
TOKOH ANUGERAH KHAS
Tuan Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid
TOKOH PENDIDIK ISLAM NEGERI MELAKA
Tuan Guru Ustaz Haji Jalaluddin bin Haji Abdul Wahid
TOKOH PENDIDIK MUDA
Tuan Haji Hashan Aladi bin Haji Ahmad.
Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan Pidato Tokoh Murabbi Ummah 2016, iaitu Tuan Guru Dato’ Dr Haji Haron bin Din. Walaupun masih kurang sihat sepenuhnya, beliau nyata memberikan yang terbaik dalam menyampaikan bingkisan ilmu kepada hadirin yang merasa sayu melihat sesusuk tubuh di pentas utama itu. Majlis diakhiri dengan ucapan dan perasmian penutup oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Usai majlis, kami semua bersiap untuk check-out dari penginapan dan meninjau lokasi menarik di sekitar bandaraya bersejarah itu. Antara lokasi yang sempat ditinjau adalah Menara Taming Sari, Jongkong Walk, Dataran Pahlawan dan Pantai Klebang untuk menikmati hidangan makan malam. Peserta tiba di perkarangan MTT pada jam 6.15 pagi setelah mengharungi perjalanan hampir 12 jam dari kota Melaka. Alhamdulillah… semuanya dipermudahkan Allah SWT. Sesungguhnya perancangan Dia adalah yang terbaik. 🙂
Warga kerja Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu kami sepanjang perjalanan kami ke Melaka pada kali ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.