Tausiyyah Daripada Timbalan Rektor Universiti Iman, Yaman

Alhamdulillah… Kami di Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) amat berbesar hati untuk menerima kunjungan daripada Sheikh Dr Ahmad Hassan Al-Fateh, Timbalan Rektor Jami’ah Iman, Yaman pada hari ini, 16 Ogos 2016 bersamaan 13 Zulkaedah 1437H.

Tausiah oleh dr Ahmad Hassan Al Faqeh.....

Beliau telah menyampaikan beberapa nasihat yang berguna kepada anak-anak pelajar dan warga pendidik MTT dalam slot ringkas di Masjid Jamek Tok Jiring, antaranya :

  1. Darjat yang tinggi diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berilmu pengentahuan.

  2. Ada perintah yang dinyatakan untuk keluar dari keselesaan hidup untuk menuntut ilmu sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan.

  3. Ilmu yang tidak diikuti dengan ketakwaan kepada Allah SWT bukanlah ilmu yang bermanfaat, bahkan akan membawa keburukan kepada umat manusia.

  4. Orang yang paling berilmu sewajarnya menjadi insan yang paling takut kepada Allah SWT.

  5. Antara pra-syarat untuk mendapat ilmu yang diberkati

    1. Ikhlas hanya kepada Sang Pencipta, Allah SWT, bukan sebagai jambatan untuk mendapat habuan dunia

    2. Bersungguh-sungguh dan menjaga masa, tanpa leka terhadap tuntutan terhadap Allah SWT.

  6. Ilmu diumpamakan sebagai haiwan buruan, catatan sebagai perangkapnya. Diibaratkan sebagai satu kebodohan apabila rupa-rupanya terlupa membawa perangkap apabila telah jauh menelusuri denai dan hutan rimba untuk memburu.

  7. Umur yang masih muda adalah masa yang paling ideal dan sebaik-baik umur untuk belajar.

  8. Para pemuda perlu mempersiapkan diri dari awal kerana pelbagai idealogi-idealogi ciptaan manusia untuk menguruskan hidup sedang mengalami ‘fasa kemuflisan’, sedangkan, manusia pada hari ini sedang mengintai-intai Islam sebagai sebuah sistem kehidupan

Tausiah oleh dr Ahmad Hassan Al Faqeh 2

Maka, marilah kita sebagai umat Islam untuk terus menuntut ilmu dan memperkasa diri dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan untuk berjuang dijalan Allah SWT. Dan, bersama-samalah kita menyeru sahabat-sahabat yang lain untuk terus mencari ilmu sebagai panduan kehidupan dan bekalan di akhirat kelak.