Dalam Kenangan… Cikgu Safinah Jusoh.

Mengenali Cikgu Safinah Jusoh, beliau merupakan seorang insan yang mesra dan mudah untuk didekati. Seorang yang sangat tabah dan gigih dalam setiap lembaran perjuangan yang diceburi. Anak sulung daripada lima orang adik beradik ini telah dilahirkan pada tanggal 23 Mac 1954 di Kampung Batu Rakit, Kuala Terengganu. Dikurniakan 3 orang anak hasil perkongsian hidup bersama Ustaz Haji Awang @ Ibrahim bin Embong.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Batu Rakit (Kuala Terengganu). Seterusnya, beliau menyambung pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Tengku Bariah (Kuala Terengganu) dan Sekolah Menengah Tun Fatimah (Johor Bahru). Di peringkat pengajian tinggi pula, beliau meneruskan pengajian ke Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Kecintaan terhadap bidang pendidikan, Cikgu Safinah dan empat sahabat lain, Ustaz Haji Abu Bakar Chik, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah, Ustaz Abdul Rashid Omar dan Cikgu Raja Endun Raja Abd Rahman mencapai kata sepakat untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan, iaitu Institut Berakan. Beliau sebelum itu pernah menjadi antara tenaga pengajar di Maktab Adabi, Terengganu. Pada tahun 2014, beliau dilantik untuk sebagai Pengerusi Eksekutif MTT menggantikan almarhum Ustaz Abu Bakar Chik yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada bulan Jun 2014. Beliau memegang  jawatan tersebut hingga akhir hayat beliau.

Senator Ahli Dewan Negara bermula tahun 1999 hingga 2006 ini juga aktif dalam bidang politik dan khidmat komuniti. Antaranya, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu untuk beberapa penggal iaitu 1991-1993, 1993-1995, 2003-2007 dan 2007-2009. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu bermula tahun 2009.

Pada 2 September 2016 (Jumaat), kira-kira jam 10.15 minit pagi. Beliau pergi menyambut seruan Ilahi di kediamannya di Kampung Paya Datu, Kuala Terengganu setelah mengalami masalah kesihatan sejak akhir-akhir ini. Semoga roh almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

safinah-jusoh