Ukhwah Terbina Sambutan 40 Tahun IB/MTT.
Alhamdulillah… Program Sambutan 40 Tahun Institut Berakan (IB) / MTT & Ihtifal Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (S40) berlangsung meriah sejak 5 April 2017 dan akan berakhir pada 8 April 2017. Pelbagai aktiviti dan program telah disusun atur sepanjang 4 hari program tersebut. Program S40 ini juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua institusi yang bernaung dibawah payung Kumpulan Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (KMTT). Selain menampilkan para ilmuan hebat dalam slot Siri Mahabbah Ilmu, beberapa pertandingan persahabatan turut diadakan antara MTT dan KMTT.
Acara Bola Sepak (9 Sebelah) menyaksikan wakil daripada Markaz Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Ehsan (MTTDE) muncul juara dengan menewaskan Kompleks Tahfiz Al-Quran & Sukan Sofiyuddin (KOMTAS) dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 6 April 2017 bertempat di Padang MTT. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan STAM MTT.
Sementara itu, bagi acara Sepak Takraw, pasukan tuan rumah, Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) memberi keceriaan berganda apabila menduduki tempat pertama dan ketiga dalam acara tersebut. Manakala, KOMTAS A muncul naib juara selepas tumpas ditangan MTT A pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit semalam. Dalam acara memanah, pasukan KOMTAS 2 muncul juara diikuti MTTDE dan pasukan muslimin MTT.
Turut sama dipertandingkan adalah acara Memasak. Pasukan memasak dari Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari (MTVAB) menewaskan pencabar lain iaitu MTT untuk berada ditangga kedua dan Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiyuddin (Lilbanat) (KOMTAS).
Manakala pada sebelah malamnya pula menyaksikan gema laungan azan, serta irama nasyid dan qasidah mula kedengaran menandakan bermulanya Malam Kesenian yang menampilkan persembahan memukau setiap wakil yang bertanding.
Pertandingan Azan telah dijuarai wakil dari KOMTAS dengan pungutan 214 mata meninggalkan dua pencabar lain dengan pungutan mata 206 (Wakil MTT) dan MTVAB yang mengumpul 204 mata. Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman juga telah muncul juara bagi kategori Pertandingan Nasyid dan Qasidah/Burdah. Bagi acara nasyid, MTT menewaskan wakil STAM MTT dengan kelebihan 1 mata, manakala MTTDE ditempat ketiga. Wakil KOMTAS 2 dan MTVAB pula masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga bagi acara Qasidah/Burdah.
Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Khamis, 6 April 2017 di pentas utama S40. Terima kasih diucapkan kepada smua pasukan yang mengambil bahagian dalam acara istimewa Sambutan 40 Tahun IB/MTT ini. Tahniah diucapkan atas usaha dan semangat ukhwah yang telah ditampilkan. Turut sama dalam program sambutan 40 tahun kali ini adalah anggota baru KMTT iaitu Akademi Tahfiz Mandarin, Pulau Ketam, Selangor.