Alhamdulillah… Dengan izin Allah SWT, beberapa program telah selesai dilaksanakan sepanjang bulan Julai 2018 yang lalu.
Antaranya adalah program KEMPEN PUASA SUNAT JAMAIE yang telah berlangsung pada 2 dan 9 Julai 2018. Ia adalah sebagai satu bentuk didikan dan dorongan kepada pelajar untuk melaksanakan ibadah puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal. Alhamdulillah, rata-rata pelajar memberi respon positif berkenaan program yang diadakan kerana dapat menunaikan ibadah sunat bersama rakan-rakan yang lain di sekolah.
Turut sama berlangsung pada bulan Julai yang lalu adalah, Temu Murni Peperiksaan Pertengahan Tahun 2018. Program ini telah dijalankan pada hari sabtu bersamaan 7 Julai 2018 di MTT. Pihak Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga dan pelajar sendiri yang peka dengan kepentingan program temu murni itu dalam meningkatkan prestasi akademik pelajar dan MTT secara keseluruhannya.
Manakala pada 9 Julai 2018 juga telah berlangsung program Rehlah Huffaz Siri III di Pantai Batu Burok Kuala Terengganu. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00tengahari itu telah melibatkan 20 orang peserta dan beberapa orang guru pengiring untuk memantau prestasi hafazan mereka di sana.
Pada hari Selasa, 17 Julai 2018 pula telah berlangsung Majlis Penutup Mentor Mentee bersama motivator Ustaz Ahmad Sofwat Osman dari Qudwah Legacy Training Consultant. Turut sama berlangsung pada hari yang sama adalah Motivasi Hafazan yang telah disampaikan oleh Ketua Imam Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu., Al Fadhil Ustaz Abdul Rahman Mohd di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring.
Program lain yang turut dijalankan adalah Latihan Pengunsian Bangunan (Fire Drill) peringkat MTT pada 18 Julai 2018. Program ini telah mendapat kerjasama sepenuhnya dari Jabatan Bomba & Penyelamat Terengganu. Ribuan terima kasih diucapkan atas kerjasama yang telah diberikan. Seterusnya, program Hari Buah MTT pada 19 Julai 2018 bertempat di perkarangan asrama muslimin, MTT. Semua guru dan pelajar bersama-sama menikmati hidangan buah seperti durian, rambutan dan manggis yang berlangsung pada jam 10.00 hingga 11.00 pagi.
Seterusnya, pada 26 Julai 2018 telah berlangsung satu ceramah peringkat asrama muslimin bertajuk Penyakit Ummat Akhir Zaman (LGBT) yang telah disampaikan oleh Prof Dr Nasir dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).