Majlis Khatam Quran MTT 2018

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar….

Kata-kata pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat kurnia dan perkenanNya untuk kami melangsungkan Majlis Khatam Quran MTT 2018 pada 17 November 2018 di Dewan Terbuka, Masjid Jamek Tok Jiring pada jam 2.00 petang.

Bersyukur juga kepada sang pencipta, Allah SWT kerana dengan izinNya apabila dua orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah berjaya menamatkan hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada adik Abdul Hayyi Ramadhan bin Shaharizukirnain dan Nurul Aida Solehah binti Mohammed atas pencapaian tersebut.

Abdul Hayyi Ramadhan yang baru berusia 14 telah menamatkan hafazan al-Quran dalam masa kurang dua tahun (1 Tahun 10 Bulan). Huffaz Muda ini telah berjaya menamatkan hafazan pada 10 Oktober 2018, tepat jam 10.20. “Saya pernah terdengar beliau mengaji dan menghafaz al-Quran pada hening malam”. kata bapa Abdul Hayyi, YB Ustaz Shaharizukirnain bin Abd Kadir ketika ditanya tidak lama sebelum beliau khatam.

Walaupun jadual harian pelajar ini dipenuhi dengan sesi kelas akademik dan pelbagai aktiviti kokurikulum di MTT, ia nyata bukan penghalang kepada Huffaz Muda ini untuk menamatkan hafazannya dalam tempoh yang singkat.

Manakala, Nurul Aida Solehah binti Mohammed yang merupakan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) MTT 2018 berjaya menamatkan hafazan beliau pada 4 November 2018, jam 4.30 petang. Sebelum menjejakkan kaki ke MTT pada Januari 2016 (Tingkatan 4), beliau telah menghafaz 15 Juzuk dan menyambung hafazan di MTT selama lebih kurang 2 tahun.

Dalam kesibukan harian beliau menuntut ilmu akademik dan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018, beliau masih mampu membahagikan masa dengan baik untuk menamatkan baki hafazan tanpa menjejaskan kecemerlangan akademik beliau dalam bidang akademik dan kokurikulum. Beliau memohon kemaafan kerana tidak dapat memenuhi undangan untuk majlis tersebut kerana urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sekali lagi ucapan tahniah kepada kedua-dua pelajar dan setinggi- tinggi penghargaan kepada para pendidik yang tidak pernah jemu dalam memberi tunjuk ajar, dorongan dan semangat untuk berjaya dalam bidang akademik, hafazan dan kehidupan seharian. InsyaAllah, semoga kejayaan ini menjadi perangsang dan dorongan kepada semua pelajar lain yang bertungkus lumus dalam hafazan dan akademik mereka.