Seminar Pendidikan Rabbani 2018

Dasar Pendidikan Rabbani ini adalah dibina atas rasional yang merujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud:
Tiada patut bagi seseorang manusia yang diberikan kepadanya oleh Allah akan al-Kitab dan Hikmah dan pangkat kenabian untuk mengatakan: Hendaklah kamu menjadi hamba padaku, bukan hamba Allah, (Tetapi sebenarnya) hendaklah kamu menjadi ‘rabbaniyyiin’ dengan apa yang kamu ajarkan juga yang kamu belajar (dari kitab itu) 

(Ali ‘Imran: [3]:79)

Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas izinNya, program Seminar Pendidikan Rabbani anjuran Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) & Jemaah Ibu Bapa Guru (JIBG) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selesai dilangsungkan pada 18 Ogos 2018 yang lalu di Dewan Auditorium JHEAT dengan kehadiran kira-kira 250 orang peserta yang mewakili institusi pendidikan dari Terengganu dan juga peserta persendirian dari negeri kejiranan seperti Kelantan dan Pahang.

Majlis dimulakan dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran oleh pelajar Ma’ahad Tahfiz Orang Kelainan Upaya Masalah Penglihatan (OKUMP) MTT, Muhammad Ifram bin Abd Rahman dengan memperdengarkan bacaan surah al-Mujadalah bermula ayat 7. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua Yayasan Kebajikan & Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP),  Ybhg Dr Mohd Hamdan bin Mohamed.

Ucaptama Seminar Pendidikan Rabbani telah disampaikan oleh Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), YBhg Prof Dato’ Dr Mohd Yusof bin Haji Othman. Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang fizik serta mampu mengaplikasikan kejadian alam dengan kebesaran Allah SWT. Turut sama terlibat sebagai pembentang dalam seminar ini adalah Ybhg Dr Yaacob bin Yusof, Pengarah Institut Latihan Perguruan Kelantan yang mewakili YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan.

Pembentang berikutnya adalah Ketua Yayasan Hayrat Turki, Cawangan Malaysia, Al-Fadhil Ustaz Sadiq Ozata. Sesi pembentangan terakhir telah disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), iaitu Al-Fadhil Ustaz Mohd Ala-uddin bin Othman. Majlis diakhiri dengan sidang resolusi oleh Pengerusi Jemaah Ibu Bapa & Guru MTT, YBhg Prof Madya Dr Berhanundin bin Abdullah kira-kira jam 2.00 petang.

Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peserta Seminar Pendidikan Rabbani 2018. Setinggi-tinggi penghargaan juga dizahirkan kepada pembentang kertas kerja, penaja program, penyumbang dana dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program ini secara langsung dan tidak langsung. Semoga dengan penganjuran Seminar Pendidikan Rabbani ini membuka lembaran baharu kearah memperkasa institusi pendidikan di Terengganu khasnya dan Malaysia amnya. Penglibatan dan sokongan semua pihak adalah diharapkan agar ia mampu direalisasikan dalam tempoh beberapa tahun yang mendatang.


Advertisements