Rehlah & Himpunan Pendidik Islam 2016

Alhamdulillah…. Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) terus memberikan komitmen jitu terhadap program Himpunan Pendidik Islam Peringkat Kebangsaan bagi tahun keempat berturut-turut. Edisi 2016 telah berlangsung di Dewan Tuan Guru Mu’allim Haji Abd Wahid di Bukit Katil, Melaka pada 21 Mei 2016. Program tahunan anjuran Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ini pernah dianjurkan di Kedah (2015), Kelantan (2014) dan Selangor (2013)

13254450_1753751894870618_3111811892152815572_n

Bersempena PENDIDIK 16′, pihak MTT telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan rehlah guru & kakitangan ke Singapura serta beberapa tempat menarik di sekitar negeri Melaka. Perjalanan ke PENDIDIK 16′ bermula jam 6.00 petang khamis, 19 Mei 2016 dengan dua buah bas yang membawa kira-kira 80 orang warga kerja MTT menuju ke Singapura. Setelah selesai urusan imigresen, peserta terus menuju ke Muhammadiyah Association of Singapore yang terletak di Jalan Selamat Kembangan.

IMG-20160520-WA0007

Sepanjang perjalanan kami di Kota Singa, kami telah diberi penerangan panjang lebar oleh Puan Juli dan En Rashid mengenai negeri yang suatu ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada negara kita, Malaysia. Peserta sempat singgah di beberapa lokasi menarik termasuk Masjid Sultan. Rombongan keluar dari negara Singapura kira-kira jam 5.00 petang dan terus menuju ke Johor untuk menunaikan solat dan makan malam.

IMG-20160521-WA0023

Seterusnya, kami bergegas ke negeri Melaka untuk menyertai PENDIDIK 16′ di Bukit Katil, Melaka. Rombongan tiba di penginapan kira-kira jam 2.30 pagi dan semua peserta mengambil peluang untuk beristirehat secukupnya sebelum menghadiri PENDIDIK 16′ yang dijadualkan bermula jam 9.00 pagi yang diadakan berdekatan dengan penginapan kami.

IMG-20160521-WA0032

Pendidik 16 dimulakan dengan persembahan nasyid daripada Kumpulan Taman Cempaka, slot motivasi oleh Pencetus Ummah Fakhrul dan bacaan ayat suci al-Quran daripada hafiz cilik, Adik Haikal Firdaus bin Mohd Jaafaruddin Al-Hafiz. Penonton nyata mengkagumi dengan kebolehan seorang anak cilik yang berusia sepuluh tahun itu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Program, Mudir Maahad Ar-Rahmah yang merupakan penganjur bersama PENDIDIK 16′ dan juga Cikgu Normala Sudirman selaku presiden Pendidik.

IMG-20160522-WA0013

Ketibaan YB Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Dato’ Dr Hj Haron Din nyata membangkitkan semangat warga pendidik yang hadir dalam PENDIDIK 16′ yang dianggarkan lebih daripada 1000 orang. Kemuncak PENDIDIK 16′ adalah Majlis Penganugerah Tokoh & Tokoh Murabbi Ummah 2016 yang disampaikan oleh TGHH berlangsung kira-kira jam 11.45 pagi. Berikut adalah senarai penerima anugerah bagi tahun 2016 :

13263840_10154216808427002_5898910685462019564_n

TOKOH MURABBI UMMAH
Tuan Guru Dato’ Dr Haron bin Din

TOKOH PENDIDIK KEBANGSAAN 2016
Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh

TOKOH ANUGERAH KHAS
Tuan Haji Mohd Azmi bin Abdul Hamid

TOKOH PENDIDIK ISLAM NEGERI MELAKA
Tuan Guru Ustaz Haji Jalaluddin bin Haji Abdul Wahid

TOKOH PENDIDIK MUDA
Tuan Haji Hashan Aladi bin Haji Ahmad.

13256487_1361078190586103_308637852628419785_n

Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan Pidato Tokoh Murabbi Ummah 2016, iaitu Tuan Guru Dato’ Dr Haji Haron bin Din. Walaupun masih kurang sihat sepenuhnya, beliau nyata memberikan yang terbaik dalam menyampaikan bingkisan ilmu kepada hadirin yang merasa sayu melihat sesusuk tubuh di pentas utama itu. Majlis diakhiri dengan ucapan dan perasmian penutup oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

IMG-20160520-WA0009

Usai majlis, kami semua bersiap untuk check-out dari penginapan dan meninjau lokasi menarik di sekitar bandaraya bersejarah itu. Antara lokasi yang sempat ditinjau adalah Menara Taming Sari, Jongkong Walk, Dataran Pahlawan dan Pantai Klebang untuk menikmati hidangan makan malam. Peserta tiba di perkarangan MTT pada jam 6.15 pagi setelah mengharungi perjalanan hampir 12 jam dari kota Melaka. Alhamdulillah… semuanya dipermudahkan Allah SWT. Sesungguhnya perancangan Dia adalah yang terbaik. 🙂

IMG-20160522-WA0012

Warga kerja Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu kami sepanjang perjalanan kami ke Melaka pada kali ini. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

Advertisements

Anugerah SAR / Sekolah Terlama Di Terengganu – IB/MTT

TAHNIAH! Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) atau dikenali dengan nama Institut Berakan (IB) diawal penubuhannya telah menerima satu pengiiktirafan dalam Himpunan Pendidik Terengganu yang berlangsung pada 26 Disember 2015 yang lalu iaitu Anugerah Sekolah Agama Rakyat (SAR) / Sekolah Swasta Terlama di Terengganu.

anugerahsar2015

Inspirasi penubuhan Institut Berakan (IB) adalah hasil cetusan idea lima orang pimpinan pelajar Terengganu dari Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Islam Klang (KIK). Mereka bersepakat untuk menubuhkan satu institusi pendidikan Islam Swasta yang beroperasi di negeri Terengganu Darul Iman. Mereka adalah Ustaz Haji Abu Bakar Chik, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah, Cikgu Safinah Jusoh, Cikgu Raja Endun Raja Abd Rahman, dan Ustaz Abdul Rashid Omar. Mereka merupakan pengasas kepada penubuhan Institut Berakan. Nama berakan memberi erti berkawan atau dalam dialek terengganu, bersain.

IB ditubuhkan pada 20 September 1976 dan didaftarkan secara rasmi dengan Pejabat Pelajaran Terengganu pada 16 Januari 1977. IB mula beroperasi secara rasminya pada 4 April 1977.

Menelusuri detik hitam dalam lipatan sejarah IB, pada 19 November 1991, kira-kira 800 orang pelajar dan puluhan guru serta kakitangan telah kehilangan tempat menuntut ilmu dan mencari rezeki apabila bangunan IB yang telah beroperasi sejak 1977 itu telah dirobohkan. Namun, atas semangat dan kesungguhan yang tinggi, IB telah berpindah dan memulakan operasi terbaru di sebuah bangunan yang disewa di Hiliran.

Masa terus berlalu, pihak pentadbiran Institut Berakan telah menerima sebidang tanah yang telah diwakafkan oleh Haji Salleh bin Mat Zin,iaitu bapa mertua kepada Ustaz Abu Bakar Chik untuk dijadikan tapak baru IB yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT).

MTT terus bergerak seiring dengan sistem pendidikan kebangsaan yang terus mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Perubahan yang secara tidak langsung menaikkan imej dan nama IB/MTT dalam memartbatkan sistem aliran tahfiz dan akademik di Terengganu amnya dan di Malaysia khususnya.

Alhamdulillah… semoga dengan pengiktirafan yang diberi akan terus memberi suntikan semangat kepada para pendidik di MTT untuk terus menabur bakti dan bersama-sama meningkatkan kualiti dan nama IB dan MTT secara keseluruhannya.

Himpunan Pendidik Islam 2015

11229556_635161116619652_6444441438633436491_n

Alhamdulillah, sekali lagi warga pendidik di Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) diberi kesempatan untuk bersama-sama dalam program Himpunan Pendidik Islam bagi tahun 2015 yang telah dianjurkan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Kompleks Batu 9, Kota Sarang Semut. Alor Setar, Kedah. Ini adalah kali ketiga warga pendidik MTT bersama-sama mengikuti program tersebut selepas program yang sama dianjurkan di Selangor dan Kelantan pada tahun terdahulu.

10425412_635161016619662_4452786293246428623_n

Rombongan yang turut disertai Ustaz Dr. Abu Bakar Abdullah bergerak ke negeri Kedah sekitar jam 11.00 malam dari perkarangan MTT dan menuju ke SMA Taufikiah  Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pok Ya sebagai memenuhi undangan daripada  Ustaz Solehan dan Cikgu Suklia yang juga merupakan bekas guru di MTT. Selesai bersarapan, rombongan terus bergerak ke program tersebut.

11262993_636085193193911_1448979728249274153_n (1)

Beberapa pengisian dalam program tersebut adalah persembahan alunan Qasidah dan Burdah, kumpulan nasyid undangan Far-East, bacaan ayat-ayat suci al-Quran daripada Qari cilik, adik Haikal Firdaus bin Mohd Jaafarudin Al-Hafiz, ucapan dari kenamaan dan pidato khas dari YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah diberi penganugerahan Tokoh Murabbi Ummah.

11218763_635163026619461_5827111786183476014_n

Dalam program tersebut juga, Ustaz Dr Abu Abdullah juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Pendidik Pasti 2015. Artikel dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh diikuti di Facebook HIMPUNAN PENDIDIK ISLAM 2015.

InsyaAllah, kami warga kerja di MTT akan terus memberi sokongan terhadap program-program sebegini pada masa-masa mendatang.

17099_636064626529301_6718712475481516994_n

GALERI GAMBAR

Himpunan Pendidik Islam 2014

Alhamdulillah… Selesai sudah HIMPUNAN PENDIDIK ISLAM KALI KE-2 yang telah berlangsung di Balai Islam Lundang, Kota Bharu. Kelantan pada 15 November 2014. Ini merupakan kali kedua yang mana kali pertama telah dilangsungkan di Selangor pada 2012.

Antara pengisian program adalah Wacana Perdana oleh bekas Rektor UIAM, Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal bin Hassan yang bertajuk “Beberapa Isu dan Cabaran Umat Islam Masa Kini“. Selain itu, hadirin juga turut diperdengar alunan ayat suci al-quran dari adik Haikal Firdaus Jaafaruddin Al-Hafiz yang baru berusia 9 tahun.

Enam anugerah telah diberikan dalam majlis tersebut iaitu; Anugerah Tokoh Pendidik Muda yang diberi kepada Yusaini Yahya (Kangar), Tokoh Ilmuan Muslimat, Ustazah Mariam Omar (Kubang Kerian), Tokoh Penggerak Pendidik, Noh Ahmad (Perak), Tokoh Pendidik Ummah telah diberi kepada bekas anggota EXCO Kerajaan Negeri iaitu Datuk Mohamed Daud Iraqi dan Tokoh Tok Guru Pondok iaitu Ustaz Wan Mohamad Wan Osman dari Pondok Pasir Tumbuh.

Kemuncak himpunan ini adalah, penganugerahan Tokoh Murabbi Negara kepada Allayarham Ustaz Abu Bakar bin Chik. Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yacob kepada balu Allayarham To’ Puan Zaiton binti Salleh.

Dalam program yang sama pada 2012, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diberi Anugerah Tokoh Ulama Nusantara.

Sumber Gambar Tambahan : Unit Komunikasi Menteri Besar Kelantan