Jambori Umum MTT 2017

Alhamdulillah… Jambori Umum Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) 2017 usai dilaksanakan bermula 28 Februari hingga 2 Mac yang lalu. Program yang menghimpunkan keseluruhan pelajar MTT berjumlah 560 orang itu telah berlangsung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kampung Telaga Batin, Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti dan pengisian telah disusun atur bagi merealisasikan tema Usaha! Fokus! Berjaya!.

Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan gerak kerja dan perjalanan program yang telah direncanakan. Antara aktiviti para peserta adalah mendirikan khemah, menyediakan hidangan, aktiviti berkumpulan termasuk taaruf bermodul, ice-breaking, pertandingan kawad kaki, pertandingan memasak, mencipta gadgetexplorace, membina monumen dan memastikan keadaan khemah sentiasa dalam keadaan ceria, kemas dan menarik. Mereka juga telah diberikan tanggungjawab sebagai imam dan bilal bertugas sepanjang program mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Selain pengisian berbentuk aktiviti fizikal, ikatan kerjasama dan ukhuwah para peserta turut didedahkan dengan slot-slot tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dan juga para pendidik dari MTT.  Pada hari pertama program, para peserta telah disegarkan dengan topik Peranan & Cabaran Seorang Pejuang yang telah disampaikan oleh Cikgu Razali bin Mohd Yunus. Penyampaian yang memberi kesegaran dan semangat kepada para pelajar untuk tidak mudah berputus asa dan membina perkaderan diri pelajar.

Beberapa slot tazkirah yang turut diselitkan dalam program pada kali ini termasuklah tazkirah Al-Quran Pemangkin Kejayaan Pelajar yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Aruddin Nawi,  Kearah Membina Generasi Rabbani oleh Ustaz Ahmad Fakhrul Azizi dan Sembang Pagi bersama pengarah program Jambori Umum MTT 2017, Ustaz Mohd Nafizul Ismail.

Selain itu, elemen kerohanian dan penyucian jiwa turut diselitkan dalam program pada kali ini. Antaranya, bacaan surah Al-Mulk pada setiap malam, qiamullail, solat hajat, solat tahajjud dan solat taubat. Pihak penganjur turut menjemput Qudwah Legacy Training Consultant untuk sessi munajat pada malam terakhir program..

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YM Cikgu Raja Endon Raja Abdul Rahman pada hari Khamis, 2 Mac 2017, kira-kira jam 11.30 pagi.

Advertisements

Anugerah Imam Asy-Syatibi : Khatam Hafazan Al-Quran

Subhanallah… Alhamdulillah… Allahuakbar…

14232995_863456870456741_290271973721300069_n

Syukur kehadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurniaNya, tiga orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Mereka telah diberi penganugerahan Anugerah Imam Asy-Syatibi pada Malam Majlis Graduasi & Anugerah Kecemerlangan MTT 2016 pada 1 September yang lalu bertempat di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring. Anugerah telah disampaikan oleh Tuan Haji Mahamud Omar.

14232515_863456300456798_8756244879022170574_n

Kejayaan yang dicapai oleh tiga pelajar ini adalah hasil kesungguhan dan iltizam yang berterusan dengan hafazan dan bacaan al-Quran. Ucapan tahniah dan syabas diucapkan atas pencapaian yang diperolehi. Semoga kejayaan yang dicapai tiga pelajar ini akan menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain yang dijangka akan menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sedikit masa lagi.

Tiga penerima Anugerah Imam Asy-Syatibi adalah :

  • Asmaa’ Ahmad Tirmizi,
    • Puteri kepada Ahmad Tirmizi bin Taha & Karimah binti Yusof merupakan anak kedua daripada 11 orang adik beradik. Beliau telah dilahirkan pada tanggal 29 Jun 1999 di Kuala Terengganu. Beliau senantiasa komited dan istiqamah dengan bacaan dan hafazan al-Quran. Ia adalah bertepatan dengan motto yang dipegang iaitu Dunnya Hasanah Wal Akhirati Hasanah.

  • Nur Sabrina binti Ramli
    • Anak bongsu daripada 5 orang adik beradik ini telah dilahirkan pada tanggal 27 Januari 2000 di Kuala Terengganu. Tinggalkanlah maksiat kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak memberi petunjuk kepada pelaku maksiat adalah sumber inspirasi kepada adik Nur Sabrina Ramli dalam usaha mencari keredhaan dan petunjuk dari Allah SWT.

  • Nur Fazreen Wahidah binti Amran
    • Anak kepada pasangan Mazinah bt Hamzah & Amran bin Omar ini merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik telah mencapai tahap bacaan dan hafazan yang baik. Selain aktif dalam bidang akademik (dan hafazan), beliau turut aktif dalam bidang sukan termasuk sukan memanah.

Semoga perkongsian dari kami akan memberi nafas baru dan keyakinan daripada golongan ibu bapa sekalian bahawa institusi pendidikan yang mempunyai aliran tahfiz & akademik mampu melahirkan para pelajar yang berdaya saing dalam bidang akademik, al-Quran serta bidang kokurikulum. InsyaAllah.

Sekalung tahniah kepada para pendidik atas komitmen dan tunjuk ajar yang diberikan kepada anak didik sekalian.

GALERI MAJLIS KHATAM AL-QURAN