Ilmu Teori & Praktikal Dalam Pasca PT3

Alhamdulillah… Sukacita dimaklumkan bahawa usai sahaja Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 12 Oktober  2017 yang lalu, beberapa program Pasca PT3 telah disusun atur bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Program tersebut diharap dapat memberi ilmu teori dan praktikal kepada pelajar dalam silibus kemahiran teori dan praktikal terutamanya sebagai seorang pelajar muslim. Ia secara tidak langsung dapat mengisi ruang masa para pelajar tersebut dengan pengisian yang bermanfaat disamping merapatkan ukhuwah sesama pelajar dan guru.

Slot pertama diisi dengan program simulasi Pengurusan Jenazah yang telah dikendalikan oleh Ustaz Shamsuri bagi pelajar lelaki dan Ustazah Azizah bagi pelajar perempuan telah berlangsung pada hari Isnin, 16 Oktober 2017. Dalam slot ini, pelajar didedahkan dengan teori pengurusan jenazah dan tunjuk ajar cara pengendalian jenazah yang betul.  InsyaAllah, semoga program bercorak kerohanian ini dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk bersama melibatkan diri dalam membantu pengurusan jenazah di kawasan masing-masing. Sekaligus menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah.

Seterusnya adalah program jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan Masjid Jamek Tok Jiring iaitu program penyediaan bubur asyura pada 18 Oktober 2017. Tiga periuk bubur asyura telah disediakan untuk diagihkan kepada para guru dan kakitangan serta kariah setempat Masjid Jamek Tok Jiring. Program ini sudah lazim dengan komuniti sekitar Ma’ahad Tahfiz Wal Tariyyah Darul Iman (MTT) dan Masjid Jamek Tok Jiring khasnya. Guru dan para pelajar bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur asyura.

Pelajar-pelajar pasca PT3 seterusnya terlibat dalam program Kembara Thaqafi di Peladang Setiu Agro Resort pada 22 & 23 Oktober 2017. Salah satu aktiviti yang dilalui peserta kembara adalah membuat rakit. Dalam program ini, dapat dilihat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta kembara yang bersungguh-sungguh untuk memastikan rakit mereka dapat berfungsi dengan baik. Selain membuat rakit, mereka turut melibatkan diri dalam acara santai seperti berkayak, flying fox dan berakit. Program interaksi dengan alam itu secara tidak langsung memberi kesegaran kepada para pelajar.

Program terakhir adalah Simulasi Haji & Umrah yang telah dibuat dengan kerjasama pihak Tabung Haji, Kuala Terengganu. Program tersebut telah diadakan pada 01 November 2017 di Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring untuk sesi teori dan Padang Riadah Muslimat untuk sesi praktikal yang meliputi tawaf, saie, bercukur, melontar  dan yang berkaitan. Pihak TH juga telah membawa replika ka’abah dan peralatan yang berkaitan khas untuk program tersebut. Bersempena program itu juga, pihak TH telah membuka kaunter urusan berkaitan TH di ruang legar Pejabat Pentadbiran MTT khas bagi pelajar dan warga kerja di MTT untuk pendaftaran akaun serta urusan yang berkaitan.

Alhamdulillah… Semoga program yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar khusunya lepasan PT3 untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan terutamanya melibatkan pengurusan jenazah dan simulasi mengerjakan haji dengan lebih jelas. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan khidmat komuniti kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, program sebegini akan diperkasakan lagi dimasa-masa akan datang. Biiznillah…

Advertisements