Majlis Khatam Quran MTT 2018

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar….

Kata-kata pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat kurnia dan perkenanNya untuk kami melangsungkan Majlis Khatam Quran MTT 2018 pada 17 November 2018 di Dewan Terbuka, Masjid Jamek Tok Jiring pada jam 2.00 petang.

Bersyukur juga kepada sang pencipta, Allah SWT kerana dengan izinNya apabila dua orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah berjaya menamatkan hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada adik Abdul Hayyi Ramadhan bin Shaharizukirnain dan Nurul Aida Solehah binti Mohammed atas pencapaian tersebut.

Abdul Hayyi Ramadhan yang baru berusia 14 telah menamatkan hafazan al-Quran dalam masa kurang dua tahun (1 Tahun 10 Bulan). Huffaz Muda ini telah berjaya menamatkan hafazan pada 10 Oktober 2018, tepat jam 10.20. “Saya pernah terdengar beliau mengaji dan menghafaz al-Quran pada hening malam”. kata bapa Abdul Hayyi, YB Ustaz Shaharizukirnain bin Abd Kadir ketika ditanya tidak lama sebelum beliau khatam.

Walaupun jadual harian pelajar ini dipenuhi dengan sesi kelas akademik dan pelbagai aktiviti kokurikulum di MTT, ia nyata bukan penghalang kepada Huffaz Muda ini untuk menamatkan hafazannya dalam tempoh yang singkat.

Manakala, Nurul Aida Solehah binti Mohammed yang merupakan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) MTT 2018 berjaya menamatkan hafazan beliau pada 4 November 2018, jam 4.30 petang. Sebelum menjejakkan kaki ke MTT pada Januari 2016 (Tingkatan 4), beliau telah menghafaz 15 Juzuk dan menyambung hafazan di MTT selama lebih kurang 2 tahun.

Dalam kesibukan harian beliau menuntut ilmu akademik dan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018, beliau masih mampu membahagikan masa dengan baik untuk menamatkan baki hafazan tanpa menjejaskan kecemerlangan akademik beliau dalam bidang akademik dan kokurikulum. Beliau memohon kemaafan kerana tidak dapat memenuhi undangan untuk majlis tersebut kerana urusan yang tidak dapat dielakkan.

Sekali lagi ucapan tahniah kepada kedua-dua pelajar dan setinggi- tinggi penghargaan kepada para pendidik yang tidak pernah jemu dalam memberi tunjuk ajar, dorongan dan semangat untuk berjaya dalam bidang akademik, hafazan dan kehidupan seharian. InsyaAllah, semoga kejayaan ini menjadi perangsang dan dorongan kepada semua pelajar lain yang bertungkus lumus dalam hafazan dan akademik mereka.

Advertisements

Ilmu Teori & Praktikal Dalam Pasca PT3

Alhamdulillah… Sukacita dimaklumkan bahawa usai sahaja Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 12 Oktober  2017 yang lalu, beberapa program Pasca PT3 telah disusun atur bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Program tersebut diharap dapat memberi ilmu teori dan praktikal kepada pelajar dalam silibus kemahiran teori dan praktikal terutamanya sebagai seorang pelajar muslim. Ia secara tidak langsung dapat mengisi ruang masa para pelajar tersebut dengan pengisian yang bermanfaat disamping merapatkan ukhuwah sesama pelajar dan guru.

Slot pertama diisi dengan program simulasi Pengurusan Jenazah yang telah dikendalikan oleh Ustaz Shamsuri bagi pelajar lelaki dan Ustazah Azizah bagi pelajar perempuan telah berlangsung pada hari Isnin, 16 Oktober 2017. Dalam slot ini, pelajar didedahkan dengan teori pengurusan jenazah dan tunjuk ajar cara pengendalian jenazah yang betul.  InsyaAllah, semoga program bercorak kerohanian ini dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk bersama melibatkan diri dalam membantu pengurusan jenazah di kawasan masing-masing. Sekaligus menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah.

Seterusnya adalah program jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan Masjid Jamek Tok Jiring iaitu program penyediaan bubur asyura pada 18 Oktober 2017. Tiga periuk bubur asyura telah disediakan untuk diagihkan kepada para guru dan kakitangan serta kariah setempat Masjid Jamek Tok Jiring. Program ini sudah lazim dengan komuniti sekitar Ma’ahad Tahfiz Wal Tariyyah Darul Iman (MTT) dan Masjid Jamek Tok Jiring khasnya. Guru dan para pelajar bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur asyura.

Pelajar-pelajar pasca PT3 seterusnya terlibat dalam program Kembara Thaqafi di Peladang Setiu Agro Resort pada 22 & 23 Oktober 2017. Salah satu aktiviti yang dilalui peserta kembara adalah membuat rakit. Dalam program ini, dapat dilihat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta kembara yang bersungguh-sungguh untuk memastikan rakit mereka dapat berfungsi dengan baik. Selain membuat rakit, mereka turut melibatkan diri dalam acara santai seperti berkayak, flying fox dan berakit. Program interaksi dengan alam itu secara tidak langsung memberi kesegaran kepada para pelajar.

Program terakhir adalah Simulasi Haji & Umrah yang telah dibuat dengan kerjasama pihak Tabung Haji, Kuala Terengganu. Program tersebut telah diadakan pada 01 November 2017 di Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring untuk sesi teori dan Padang Riadah Muslimat untuk sesi praktikal yang meliputi tawaf, saie, bercukur, melontar  dan yang berkaitan. Pihak TH juga telah membawa replika ka’abah dan peralatan yang berkaitan khas untuk program tersebut. Bersempena program itu juga, pihak TH telah membuka kaunter urusan berkaitan TH di ruang legar Pejabat Pentadbiran MTT khas bagi pelajar dan warga kerja di MTT untuk pendaftaran akaun serta urusan yang berkaitan.

Alhamdulillah… Semoga program yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar khusunya lepasan PT3 untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan terutamanya melibatkan pengurusan jenazah dan simulasi mengerjakan haji dengan lebih jelas. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan khidmat komuniti kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, program sebegini akan diperkasakan lagi dimasa-masa akan datang. Biiznillah…

Ukhwah Terbina Sambutan 40 Tahun IB/MTT.

Alhamdulillah… Program Sambutan 40 Tahun Institut Berakan (IB) / MTT & Ihtifal Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (S40) berlangsung meriah sejak 5 April 2017 dan akan berakhir pada 8 April 2017. Pelbagai aktiviti dan program telah disusun atur sepanjang 4 hari program tersebut. Program S40 ini juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada semua institusi yang bernaung dibawah payung Kumpulan Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (KMTT). Selain menampilkan para ilmuan hebat dalam slot Siri Mahabbah Ilmu, beberapa pertandingan persahabatan turut diadakan antara MTT dan KMTT.

Acara Bola Sepak (9 Sebelah) menyaksikan wakil daripada Markaz Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Ehsan (MTTDE) muncul juara dengan menewaskan Kompleks Tahfiz Al-Quran & Sukan Sofiyuddin (KOMTAS) dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada 6 April 2017 bertempat di Padang MTT. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan STAM MTT.

Sementara itu, bagi acara Sepak Takraw, pasukan tuan rumah, Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) memberi keceriaan berganda apabila menduduki tempat pertama dan ketiga dalam acara tersebut. Manakala, KOMTAS A muncul naib juara selepas tumpas ditangan MTT A pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit semalam. Dalam acara memanah, pasukan KOMTAS 2 muncul juara diikuti MTTDE dan pasukan muslimin MTT.

Turut sama dipertandingkan adalah acara Memasak. Pasukan memasak dari Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bestari (MTVAB) menewaskan pencabar lain iaitu MTT untuk berada ditangga kedua dan Kompleks Tahfiz Al-Quran Sofiyuddin (Lilbanat) (KOMTAS). 

Manakala pada sebelah malamnya pula menyaksikan gema laungan azan, serta irama nasyid dan qasidah mula kedengaran menandakan bermulanya Malam Kesenian yang menampilkan persembahan memukau setiap wakil yang bertanding.

Pertandingan Azan telah dijuarai wakil dari KOMTAS dengan pungutan 214 mata meninggalkan dua pencabar lain dengan pungutan mata 206 (Wakil MTT) dan MTVAB yang mengumpul 204 mata. Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman juga telah muncul juara bagi kategori Pertandingan Nasyid dan Qasidah/Burdah. Bagi acara nasyid, MTT menewaskan wakil STAM MTT dengan kelebihan 1 mata, manakala MTTDE ditempat ketiga. Wakil KOMTAS 2 dan MTVAB pula masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga bagi acara Qasidah/Burdah.

Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Khamis, 6 April 2017 di pentas utama S40. Terima kasih diucapkan kepada smua pasukan yang mengambil bahagian dalam acara istimewa Sambutan 40 Tahun IB/MTT ini. Tahniah diucapkan atas usaha dan semangat ukhwah yang telah ditampilkan. Turut sama dalam program sambutan 40 tahun kali ini adalah anggota baru KMTT iaitu Akademi Tahfiz Mandarin, Pulau Ketam, Selangor.

Lawatan Kepimpinan Qudwah MTT 2017.

Alhamdulillah… Lawatan Kepimpinan Qudwah Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah berlangsung pada 17 hingga 19 Mac 2017 yang lalu. Lawatan ini telah melibatkan 32 orang pelajar dan 9 orang guru pengiring. Peserta lawatan tiba di perkarangan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 5.15 pagi. Peserta mengambil peluang untuk rehat dan kendiri sementara menunggu masuknya waktu bagi mereka menunaikan solat Subuh.

Destinasi pertama peserta lawatan adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bersarapan dan melakukan aktiviti bersama siswa siswi UKM yang ramah dan ceria bersama kepimpinan pelajar (Qudwah) MTT yang menyertai lawatan pada kali ini. Program telah berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Peserta lawatan seterusnya bertolak ke Wangsa Walk untuk sarapan tengahari dan berehat sebelum menuju ke Universiti Malaya untuk para pimpinan Qudwah mendalami ilmu dan perkongsian dari siswa siswi UM.

Usai sessi di UM, para peserta dibawa ke Sekolah Al-Amin untuk rehat dan kendiri sebelum perjalanan sessi malam diteruskan ke Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) untuk makan malam dan aktiviti ramah mesra bersama siswa siswi KUIZM. Hari kedua lawatan lebih santai dengan lawatan tertumpu ke Muzium, Planeterium, Kuala Lumpur City Center (KLCC), Aquaria KLCC sebelum bertolak pulang ke MTT. Peserta juga dibawa ke Jalan Masjid India dan Central Market untuk membeli cenderahati kenang-kenangan untuk dibawa pulang.

Pihak MTT mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang lawatan ini berlangsung. Alhamdulillah… Semoga ukhuwah yang terbina terus terjalin untuk masa-masa yang mendatang.

Lawatan SMK Ahmad dan Pemeteraian MoU.

Alhamdulillah… Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah menerima kunjungan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad (SMK Ahmad) pada hari Isnin, 6 Mac 2017. Sekolah yang berpengkalan di Jalan Rompin Lama, Pahang tiba di perkarangan MTT kira-kira jam 10.00 pagi bersama 4 orang guru pengiring dan 32 orang pelajar lelaki dan perempuan dari aliran pengajian islam.

Kunjungan mereka disambut mesra saf pengurusan dan kepimpinan pelajar MTT. Mereka terus menuju ke Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring untuk sesi suai kenal dan pengenalan institusi MTT dan SMK Ahmad. Seterusnya, tiba masa untuk sesi memeterai perjanjian persefahaman MoU antara SMK Ahmad dan MTT dengan terma-terma yang telah sama-sama dipersetujui kedua-dua pihak

MoU tersebut telah ditandatangani secara bersama oleh pengetua SMK Ahmad iaitu Nor Hasimah binti Abdul Ghafar, Koordinator Pendidikan Islam SMK Ahmad, Sahari bin Ismail, Ustazah Norlela binti Ahmad, Ketua Bidang Bahasa Arab (MTT) dan mudir MTT, Haji Muzaihar Kamal bin Mustapa Kamal. Semoga dengan termeterainya MoU ini akan membuka lebih banyak peluang dan hala tuju yang lebih cemerlang dimasa akan datang antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan terutamanya, InsyaAllah…

Jambori Umum MTT 2017

Alhamdulillah… Jambori Umum Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) 2017 usai dilaksanakan bermula 28 Februari hingga 2 Mac yang lalu. Program yang menghimpunkan keseluruhan pelajar MTT berjumlah 560 orang itu telah berlangsung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kampung Telaga Batin, Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti dan pengisian telah disusun atur bagi merealisasikan tema Usaha! Fokus! Berjaya!.

Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan gerak kerja dan perjalanan program yang telah direncanakan. Antara aktiviti para peserta adalah mendirikan khemah, menyediakan hidangan, aktiviti berkumpulan termasuk taaruf bermodul, ice-breaking, pertandingan kawad kaki, pertandingan memasak, mencipta gadgetexplorace, membina monumen dan memastikan keadaan khemah sentiasa dalam keadaan ceria, kemas dan menarik. Mereka juga telah diberikan tanggungjawab sebagai imam dan bilal bertugas sepanjang program mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Selain pengisian berbentuk aktiviti fizikal, ikatan kerjasama dan ukhuwah para peserta turut didedahkan dengan slot-slot tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan dan juga para pendidik dari MTT.  Pada hari pertama program, para peserta telah disegarkan dengan topik Peranan & Cabaran Seorang Pejuang yang telah disampaikan oleh Cikgu Razali bin Mohd Yunus. Penyampaian yang memberi kesegaran dan semangat kepada para pelajar untuk tidak mudah berputus asa dan membina perkaderan diri pelajar.

Beberapa slot tazkirah yang turut diselitkan dalam program pada kali ini termasuklah tazkirah Al-Quran Pemangkin Kejayaan Pelajar yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Aruddin Nawi,  Kearah Membina Generasi Rabbani oleh Ustaz Ahmad Fakhrul Azizi dan Sembang Pagi bersama pengarah program Jambori Umum MTT 2017, Ustaz Mohd Nafizul Ismail.

Selain itu, elemen kerohanian dan penyucian jiwa turut diselitkan dalam program pada kali ini. Antaranya, bacaan surah Al-Mulk pada setiap malam, qiamullail, solat hajat, solat tahajjud dan solat taubat. Pihak penganjur turut menjemput Qudwah Legacy Training Consultant untuk sessi munajat pada malam terakhir program..

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YM Cikgu Raja Endon Raja Abdul Rahman pada hari Khamis, 2 Mac 2017, kira-kira jam 11.30 pagi.

Huffaz Cemerlang, Membina Generasi Al-Quran

Alhamdulillah.. Lepasan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) muncul naib juara Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang telah berlangsung pada 22 dan 23 Januari 2017 di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus.

16298507_10155140609253738_5868962537543492356_n

Mohd Syamel Malek, anak muda yang berasal dari kampung Kebor Air, Manir telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6000.00 berserta trofi pada majlis penutup yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif. Dalam edisi sebelumnya, Mohd Syamel muncul naib juara bagi kategori 1-20 juzuk. Tahniah diucapkan kerana terus konsisten dan istiqomah dalam mempelajari ilmu al-Quran.

dsc_3188-1

Penganjuran program sebegini dilihat sebagai platform yang baik bagi mengajak masyarakat Islam khususnya di bumi Terengganu Darul Iman supaya mencintai dan mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian. Disamping itu, ia juga mampu mengangkat martabat dan memberi pengiktirafan kepada para huffaz supaya menjadi role model kepada generasi pelapis untuk mendalami dan mengambil serius bidang hafazan al-Quran dan tilawah al-Quran.

Dalam majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyaksikan Muhammad Irfan Saiful Azizan Ali, 24 tahun dari Kemaman dan Radhiah Ab Rahman, 22 tahun muncul juara lelaki dan perempuan bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk. Irfan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Al-Bayt, Jordan dan Radhiah merupakan penuntut di Ma’ahad Tahfiz Darul Nisa, Kelantan.

Irfan berkata, dia hanya sekadar mencuba nasib  menyertai pertandingan hafazan itu dan kejayaan yang diperolehI adalah takdir  Allah SWT. Katanya, dia menggunakan masa yang ada dengan bangun pada setiap pagi untuk mengaji dan menghafaz al-Quran, selain  mencatat pembacaa yang tidak betul dan sentiasa menanam nekad  untuk membuat yang terbaik.

Tiada petua istimewa, perihal pemakanan pun tidak dijaga sangat, mungkin adanya kekuatan dalam diri,  mendapat sokongan dari keluarga menjadi faktor kejayaan saya malam ini (malam tadi),”katanya lagi kepada wartawan.

Nada yang sama turut disuarakan Radhiah yang menyatakan percubaannya menyertai pertandingan adalah sekadar ‘suka-suka’ dan hanya mahu mengasah bakat disamping mencari pengalaman untuk terus memperbaiki bacaan dan hafazannya. Dan, kejayaan yang hadir adalah rezeki dan takdir dari Allah SWT.

Sebelum ini, pernah menjuarai kategori juzu’ 1 hingga 20 ketika menyertai pertandingan  hafazan di Kelantan, faktor itu mendorong saya untuk mengasah bakat dengan mengikuti kategori lebih tinggi,”katanya yang berasal dari Kampung Tok Kah, Dungun.