Ilmu Teori & Praktikal Dalam Pasca PT3

Alhamdulillah… Sukacita dimaklumkan bahawa usai sahaja Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 12 Oktober  2017 yang lalu, beberapa program Pasca PT3 telah disusun atur bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Program tersebut diharap dapat memberi ilmu teori dan praktikal kepada pelajar dalam silibus kemahiran teori dan praktikal terutamanya sebagai seorang pelajar muslim. Ia secara tidak langsung dapat mengisi ruang masa para pelajar tersebut dengan pengisian yang bermanfaat disamping merapatkan ukhuwah sesama pelajar dan guru.

Slot pertama diisi dengan program simulasi Pengurusan Jenazah yang telah dikendalikan oleh Ustaz Shamsuri bagi pelajar lelaki dan Ustazah Azizah bagi pelajar perempuan telah berlangsung pada hari Isnin, 16 Oktober 2017. Dalam slot ini, pelajar didedahkan dengan teori pengurusan jenazah dan tunjuk ajar cara pengendalian jenazah yang betul.  InsyaAllah, semoga program bercorak kerohanian ini dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk bersama melibatkan diri dalam membantu pengurusan jenazah di kawasan masing-masing. Sekaligus menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah.

Seterusnya adalah program jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan Masjid Jamek Tok Jiring iaitu program penyediaan bubur asyura pada 18 Oktober 2017. Tiga periuk bubur asyura telah disediakan untuk diagihkan kepada para guru dan kakitangan serta kariah setempat Masjid Jamek Tok Jiring. Program ini sudah lazim dengan komuniti sekitar Ma’ahad Tahfiz Wal Tariyyah Darul Iman (MTT) dan Masjid Jamek Tok Jiring khasnya. Guru dan para pelajar bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur asyura.

Pelajar-pelajar pasca PT3 seterusnya terlibat dalam program Kembara Thaqafi di Peladang Setiu Agro Resort pada 22 & 23 Oktober 2017. Salah satu aktiviti yang dilalui peserta kembara adalah membuat rakit. Dalam program ini, dapat dilihat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta kembara yang bersungguh-sungguh untuk memastikan rakit mereka dapat berfungsi dengan baik. Selain membuat rakit, mereka turut melibatkan diri dalam acara santai seperti berkayak, flying fox dan berakit. Program interaksi dengan alam itu secara tidak langsung memberi kesegaran kepada para pelajar.

Program terakhir adalah Simulasi Haji & Umrah yang telah dibuat dengan kerjasama pihak Tabung Haji, Kuala Terengganu. Program tersebut telah diadakan pada 01 November 2017 di Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring untuk sesi teori dan Padang Riadah Muslimat untuk sesi praktikal yang meliputi tawaf, saie, bercukur, melontar  dan yang berkaitan. Pihak TH juga telah membawa replika ka’abah dan peralatan yang berkaitan khas untuk program tersebut. Bersempena program itu juga, pihak TH telah membuka kaunter urusan berkaitan TH di ruang legar Pejabat Pentadbiran MTT khas bagi pelajar dan warga kerja di MTT untuk pendaftaran akaun serta urusan yang berkaitan.

Alhamdulillah… Semoga program yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar khusunya lepasan PT3 untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan terutamanya melibatkan pengurusan jenazah dan simulasi mengerjakan haji dengan lebih jelas. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan khidmat komuniti kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, program sebegini akan diperkasakan lagi dimasa-masa akan datang. Biiznillah…

Advertisements

Program Lepasan Pelajar PT3 MTT 2016….

Alhamdulillah… untuk memastikan jadual dan pergerakan aktiviti pelajar yang telah selesai menjalani Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 berlangsung dengan teratur, pihak Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah menyusun atur beberapa program untuk mereka. Program anjuran Jabatan Pengorganisasian Pelajar & Tarbiyyah (JPPT) itu bertujuan mengisi masa pelajar disamping memberi pendedahan kepada pelajar dalam pelbagai perkara.

51a8a475-b323-4769-8d8d-b2e2a98aa01f

Program pertama yang dijalankan adalah Simulasi Pengurusan Jenazah pada 25 Oktober 2016 bertempat di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring bagi pelajar muslimat dan Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring bagi pelajar muslimin. Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, simulasi pada tahun ini turut menunjukkan cara-cara untuk memandikan jenazah bagi memberi pendedahan dan praktikal kepada pelajar. Umum mengetahui bahawa menguruskan jenazah adalah Fardhu Kifayah. Justeru, diharapkan pelajar-pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu yang ditelah dicurahkan kepada mereka dalam program tersebut.

2c6bafc9-a00b-4c83-a361-c2541d41a7dd

Seterusnya, pelajar turut melibatkan diri dalam program Bubur Asyura Perdana yang dijalankan dengan kerjasama Masjid Jamek Tok Jiring. Sejumlah lima periuk bubur asyura telah diproses dan diagihkan kepada ibu bapa pelajar, kariah Masjid Jamek Tok Jiring dan juga warga kerja MTT.

14955774_1608114585880638_3354029891090567274_n

Program yang terbaru diperkenalkan pada tahun ini adalah Simulasi Haji dan Umrah. Pihak MTT sangat berbesar hati kerana mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengurusan Tabung Haji Kuala Terengganu yang bersetuju menyediakan model Kaabah untuk membantu merealisasikan program pada kali ini. Program sehari yang berlangsung pada 8 November 2016 ini dimulakan dengan sessi teori yang disampaikan oleh Ustaz Wan Ismail bin Wan Abdullah di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring. Program kali ini turut disertai pelajar-pelajar dari Tingkatan 4. Sesi praktikal diteruskan selepas rehat pagi dengan cara pemakaian kain ihram dan bergerak untuk simulasi Haji & Umrah di Padang Sukan Muslimat di Perkarangan MTT.

14962590_10154857034303738_4045345847061737201_n

Alhamdulillah… semua program yang dirancangkan berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik. Harapan kami agar pelajar memanfaatkan ilmu-ilmu yang telah dicurahkan. Usaha kami untuk kalian semua menjadi insan yang mampu berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan agama pada suatu hari nanti… InsyaAllah…