Ilmu Teori & Praktikal Dalam Pasca PT3

Alhamdulillah… Sukacita dimaklumkan bahawa usai sahaja Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 12 Oktober  2017 yang lalu, beberapa program Pasca PT3 telah disusun atur bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Program tersebut diharap dapat memberi ilmu teori dan praktikal kepada pelajar dalam silibus kemahiran teori dan praktikal terutamanya sebagai seorang pelajar muslim. Ia secara tidak langsung dapat mengisi ruang masa para pelajar tersebut dengan pengisian yang bermanfaat disamping merapatkan ukhuwah sesama pelajar dan guru.

Slot pertama diisi dengan program simulasi Pengurusan Jenazah yang telah dikendalikan oleh Ustaz Shamsuri bagi pelajar lelaki dan Ustazah Azizah bagi pelajar perempuan telah berlangsung pada hari Isnin, 16 Oktober 2017. Dalam slot ini, pelajar didedahkan dengan teori pengurusan jenazah dan tunjuk ajar cara pengendalian jenazah yang betul.  InsyaAllah, semoga program bercorak kerohanian ini dapat memberi manfaat kepada pelajar untuk bersama melibatkan diri dalam membantu pengurusan jenazah di kawasan masing-masing. Sekaligus menjalankan tanggungjawab fardhu kifayah.

Seterusnya adalah program jalinan kerjasama dengan pihak pengurusan Masjid Jamek Tok Jiring iaitu program penyediaan bubur asyura pada 18 Oktober 2017. Tiga periuk bubur asyura telah disediakan untuk diagihkan kepada para guru dan kakitangan serta kariah setempat Masjid Jamek Tok Jiring. Program ini sudah lazim dengan komuniti sekitar Ma’ahad Tahfiz Wal Tariyyah Darul Iman (MTT) dan Masjid Jamek Tok Jiring khasnya. Guru dan para pelajar bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur asyura.

Pelajar-pelajar pasca PT3 seterusnya terlibat dalam program Kembara Thaqafi di Peladang Setiu Agro Resort pada 22 & 23 Oktober 2017. Salah satu aktiviti yang dilalui peserta kembara adalah membuat rakit. Dalam program ini, dapat dilihat kerjasama yang ditunjukkan oleh para peserta kembara yang bersungguh-sungguh untuk memastikan rakit mereka dapat berfungsi dengan baik. Selain membuat rakit, mereka turut melibatkan diri dalam acara santai seperti berkayak, flying fox dan berakit. Program interaksi dengan alam itu secara tidak langsung memberi kesegaran kepada para pelajar.

Program terakhir adalah Simulasi Haji & Umrah yang telah dibuat dengan kerjasama pihak Tabung Haji, Kuala Terengganu. Program tersebut telah diadakan pada 01 November 2017 di Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring untuk sesi teori dan Padang Riadah Muslimat untuk sesi praktikal yang meliputi tawaf, saie, bercukur, melontar  dan yang berkaitan. Pihak TH juga telah membawa replika ka’abah dan peralatan yang berkaitan khas untuk program tersebut. Bersempena program itu juga, pihak TH telah membuka kaunter urusan berkaitan TH di ruang legar Pejabat Pentadbiran MTT khas bagi pelajar dan warga kerja di MTT untuk pendaftaran akaun serta urusan yang berkaitan.

Alhamdulillah… Semoga program yang dianjurkan ini dapat memberi pendedahan kepada para pelajar khusunya lepasan PT3 untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan terutamanya melibatkan pengurusan jenazah dan simulasi mengerjakan haji dengan lebih jelas. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan khidmat komuniti kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, program sebegini akan diperkasakan lagi dimasa-masa akan datang. Biiznillah…

Advertisements

Huffaz Cemerlang, Membina Generasi Al-Quran

Alhamdulillah.. Lepasan pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) muncul naib juara Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang telah berlangsung pada 22 dan 23 Januari 2017 di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Nerus.

16298507_10155140609253738_5868962537543492356_n

Mohd Syamel Malek, anak muda yang berasal dari kampung Kebor Air, Manir telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6000.00 berserta trofi pada majlis penutup yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif. Dalam edisi sebelumnya, Mohd Syamel muncul naib juara bagi kategori 1-20 juzuk. Tahniah diucapkan kerana terus konsisten dan istiqomah dalam mempelajari ilmu al-Quran.

dsc_3188-1

Penganjuran program sebegini dilihat sebagai platform yang baik bagi mengajak masyarakat Islam khususnya di bumi Terengganu Darul Iman supaya mencintai dan mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian. Disamping itu, ia juga mampu mengangkat martabat dan memberi pengiktirafan kepada para huffaz supaya menjadi role model kepada generasi pelapis untuk mendalami dan mengambil serius bidang hafazan al-Quran dan tilawah al-Quran.

Dalam majlis penutup yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyaksikan Muhammad Irfan Saiful Azizan Ali, 24 tahun dari Kemaman dan Radhiah Ab Rahman, 22 tahun muncul juara lelaki dan perempuan bagi kategori Hafazan 1-30 Juzuk. Irfan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti Al-Bayt, Jordan dan Radhiah merupakan penuntut di Ma’ahad Tahfiz Darul Nisa, Kelantan.

Irfan berkata, dia hanya sekadar mencuba nasib  menyertai pertandingan hafazan itu dan kejayaan yang diperolehI adalah takdir  Allah SWT. Katanya, dia menggunakan masa yang ada dengan bangun pada setiap pagi untuk mengaji dan menghafaz al-Quran, selain  mencatat pembacaa yang tidak betul dan sentiasa menanam nekad  untuk membuat yang terbaik.

Tiada petua istimewa, perihal pemakanan pun tidak dijaga sangat, mungkin adanya kekuatan dalam diri,  mendapat sokongan dari keluarga menjadi faktor kejayaan saya malam ini (malam tadi),”katanya lagi kepada wartawan.

Nada yang sama turut disuarakan Radhiah yang menyatakan percubaannya menyertai pertandingan adalah sekadar ‘suka-suka’ dan hanya mahu mengasah bakat disamping mencari pengalaman untuk terus memperbaiki bacaan dan hafazannya. Dan, kejayaan yang hadir adalah rezeki dan takdir dari Allah SWT.

Sebelum ini, pernah menjuarai kategori juzu’ 1 hingga 20 ketika menyertai pertandingan  hafazan di Kelantan, faktor itu mendorong saya untuk mengasah bakat dengan mengikuti kategori lebih tinggi,”katanya yang berasal dari Kampung Tok Kah, Dungun.

Program Lepasan Pelajar PT3 MTT 2016….

Alhamdulillah… untuk memastikan jadual dan pergerakan aktiviti pelajar yang telah selesai menjalani Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 berlangsung dengan teratur, pihak Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) telah menyusun atur beberapa program untuk mereka. Program anjuran Jabatan Pengorganisasian Pelajar & Tarbiyyah (JPPT) itu bertujuan mengisi masa pelajar disamping memberi pendedahan kepada pelajar dalam pelbagai perkara.

51a8a475-b323-4769-8d8d-b2e2a98aa01f

Program pertama yang dijalankan adalah Simulasi Pengurusan Jenazah pada 25 Oktober 2016 bertempat di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring bagi pelajar muslimat dan Dewan Terbuka Masjid Jamek Tok Jiring bagi pelajar muslimin. Berbeza dengan tahun-tahun terdahulu, simulasi pada tahun ini turut menunjukkan cara-cara untuk memandikan jenazah bagi memberi pendedahan dan praktikal kepada pelajar. Umum mengetahui bahawa menguruskan jenazah adalah Fardhu Kifayah. Justeru, diharapkan pelajar-pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu yang ditelah dicurahkan kepada mereka dalam program tersebut.

2c6bafc9-a00b-4c83-a361-c2541d41a7dd

Seterusnya, pelajar turut melibatkan diri dalam program Bubur Asyura Perdana yang dijalankan dengan kerjasama Masjid Jamek Tok Jiring. Sejumlah lima periuk bubur asyura telah diproses dan diagihkan kepada ibu bapa pelajar, kariah Masjid Jamek Tok Jiring dan juga warga kerja MTT.

14955774_1608114585880638_3354029891090567274_n

Program yang terbaru diperkenalkan pada tahun ini adalah Simulasi Haji dan Umrah. Pihak MTT sangat berbesar hati kerana mendapat kerjasama yang baik dari pihak pengurusan Tabung Haji Kuala Terengganu yang bersetuju menyediakan model Kaabah untuk membantu merealisasikan program pada kali ini. Program sehari yang berlangsung pada 8 November 2016 ini dimulakan dengan sessi teori yang disampaikan oleh Ustaz Wan Ismail bin Wan Abdullah di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring. Program kali ini turut disertai pelajar-pelajar dari Tingkatan 4. Sesi praktikal diteruskan selepas rehat pagi dengan cara pemakaian kain ihram dan bergerak untuk simulasi Haji & Umrah di Padang Sukan Muslimat di Perkarangan MTT.

14962590_10154857034303738_4045345847061737201_n

Alhamdulillah… semua program yang dirancangkan berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik. Harapan kami agar pelajar memanfaatkan ilmu-ilmu yang telah dicurahkan. Usaha kami untuk kalian semua menjadi insan yang mampu berbakti kepada ibu bapa, masyarakat dan agama pada suatu hari nanti… InsyaAllah…

Kem Kecemerlangan PT3 2016

Menjelang musim peperiksaan yang hampir tibaMa’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) melalui Jabatan Akademik tampil dengan inisiatif penganjuran Kem Kecemerlangan PT3 pada 22 hingga 24 September 2016 yang lalu bertempat di Angullia Beach Resort, Marang Terengganu. Kem ini telah melibatkan 109 orang calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) MTT 2016. Kem sebegini merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar yang terlibat dengan peperiksaan utama kementerian.

14446181_876168442518917_7770306217221174702_n

Program selama 3 hari itu memfokuskan kepada tips & trick menjawab soalan, motivasi dan kerohanian diri pelajar. Ia adalah sebagai inisiatif tambahan untuk pelajar lebih bersemangat dan menumpukan daya fikiran mereka terhadap Ujian Bertulis PT3 yang akan bermula pada 10 Oktober 2016 ini. Sebanyak 8 slot (7 slot subjek + 1 slot motivasi) telah berlangsung sepanjang program dengan penceramah dan motivator yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

14479623_876169375852157_6549552194728118781_n

Dalam program tersebut, satu majlis penyampaian sijil kepada 4 orang pelajar terbaik iaitu :

  1. Afiq Syahmi Zuraidi (3 Imam Nafi’)
  2. Abdul Rahman Ahmad Shaharuddin (3 Imam Nafi’)
  3. Farzana Shahirah Zakaria (3 Imam Ibnu Kathir)
  4. Busyra Mohd Afif (3 Imam Ibnu Kathir).

14370251_875485095920585_9005701292859497192_n

Alhamdulillah… Tahniah diucapkan kepada semua yang nyata bersemangat dan menunjukkan komitmen untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, tidak hanya didunia, tetapi juga di akhirat kelak. Semoga berjaya diucapkan kepada semua calon PT3 MTT 2016. Kem Kecemerlangan SPM 2016 bakal tiba tidak lama lagi. InsyaAllah….

 

19/09/2016 : Gerak Kerja Pembinaan Bangunan Pentadbiran Baru MTT

Alhamdulillah, 19 September 2016, pembinaan Bangunan Pejabat Pentadbiran Baru Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) diteruskan lagi. Pembinaan yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM150,000.00 sangat memerlukan dana segera dan perlu diselesaikan menjelang permulaan sessi persekolahan bagi tahun 2017.

14329904_1244804015572383_2246968089682804179_n

Berdasarkan perangkaan yang dibuat dari tahun ke tahun, kapasiti pelajar MTT dijangka mencecah sehingga 650 orang pelajar berbanding jumlah pelajar sedia ada pada tahap 550 hingga 600 orang pelajar. Dengan fasiliti kelas yang sangat terhad, ruang pejabat pentadbiran sedia ada akan diubahsuai untuk dijadikan kelas bagi menampung permintaan pelajar yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

14370074_1244804598905658_1904960157297935834_n

MTT merupakan sebuah institusi pendidikan yang menggabungkan sistem pengajian TAHFIZ & AKADEMIK, dimana pengambilan pelajar bermula seawal usia 11 tahun bagi aliran TAHFIZ AKADEMIK hingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia. Dari aspek penilaian dan persijilan, MTT menggunakan sistem peperiksaan peringkat kementerian yang merangkumi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan juga Sijil Tahfiz Malaysia (STM) bagi mereka yang berkelayakan. Bagi pelajar lepasan PT3, tiga aliran ditawarkan iaitu, (i) Tahfiz Sains Tulen, (ii) Tahfiz Perakaunan, (iii) Tahfiz Wa Ulumul Qiraat. Maklumat lanjut sistem pengajian di MTT, boleh layari : http://mttdaruliman.edu.my (KLIK DISINI)

14322576_1244803052239146_6358446168018040361_n

Justeru, kami merayu sumbangan daripada sahabat-sahabat dermawan sekalian untuk sama-sama membantu kami menyediakan fasiliti yang terbaik dalam usaha melahirkan generasi ilmuan islam yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Sumbangan boleh disalurkan melalui :

MAYBANK : 5630 6412 7667
CIMB : 8602 1544 84

atas nama Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah

Pertanyaan lanjut boleh hubungi :
Cikgu Abdullah Embong.
014-212 4909
abdi_em@yahoo.com

14364703_1244803718905746_9026040645234893629_n

14355557_1244801682239283_4651297893919002019_n

danapembangunan2016

A5 (1)

Khidmat Komuniti Pelajar Imam Terawih

Beberapa tahun kebelakangan ini, warga Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) semakin banyak melibatkan diri dalam program khidmat komuniti. Program-program yang disertai adalah secara sukarela dan juga jemputan dari pihak luar untuk bekerjasama dalam melaksanakan program. Mengambil contoh, pada tahun 2013, warga MTT telah terlibat dalam khidmat komuniti membantu mangsa banjir di Kemaman. Manakala, ketika Kelantan dilanda banjir besar, skuad dari MTT turut bersama-sama membantu di Pondok Sungai Durian yang mengalami kerosakan yang teruk pada ketika itu. Tidak ketinggalan jemputan para asatizah untuk menyampaikan tazkirah dan motivasi kepada anak-anak pelajar.

Pada tahun 2016, MTT sekali lagi mengorak langkah dengan program Khidmat Komuniti Imam Terawih di beberapa buah surau dan masjid di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Selain dijemput sebagai imam Terawih, mereka juga berpeluang menyampaikan tazkirah ringkas Ramadhan sebagai pengisian malam tersebut. Mereka yang terpilih untuk program tersebut adalah :

  1. Mohd Hafiz b A. Bakar (STAM)
  2. Wan Zulkarnain b Wan Daud (STAM)
  3. Che Engku Khairul Ahmad b Che Engku Rozali (STAM)
  4. Abdul Aziz b Othman (5IIA)
  5. Amirul Abrar b Hasbullah (4IA)
  6. Ahmad Husainil Hafiz b Mohd Azam (5IA)
  7. Muhd Harith Fitri b Mohamad (4IK)
  8. Mohd Hibatul Jihadi b Mad Daud (3IN)
  9. Ahmad Zulkhairi b Mohd Safie (3IN)

InsyaAllah, program-program sebegini akan ditambah baik dengan harapan agar ia dapat memberi peluang kepada para pelajar melibatkan diri bersama komuniti. Ia merupakan satu pengalaman berharga kepada mereka selain meningkatkan keyakinan diri dan belajar melalui penglibatan aktiviti-aktiviti bercorak sedemikian.

Anugerah Imam Asy-Syatibi : Khatam Hafazan Al-Quran

Subhanallah… Alhamdulillah… Allahuakbar…

14232995_863456870456741_290271973721300069_n

Syukur kehadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurniaNya, tiga orang pelajar Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Mereka telah diberi penganugerahan Anugerah Imam Asy-Syatibi pada Malam Majlis Graduasi & Anugerah Kecemerlangan MTT 2016 pada 1 September yang lalu bertempat di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring. Anugerah telah disampaikan oleh Tuan Haji Mahamud Omar.

14232515_863456300456798_8756244879022170574_n

Kejayaan yang dicapai oleh tiga pelajar ini adalah hasil kesungguhan dan iltizam yang berterusan dengan hafazan dan bacaan al-Quran. Ucapan tahniah dan syabas diucapkan atas pencapaian yang diperolehi. Semoga kejayaan yang dicapai tiga pelajar ini akan menjadi pendorong kepada pelajar-pelajar lain yang dijangka akan menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sedikit masa lagi.

Tiga penerima Anugerah Imam Asy-Syatibi adalah :

  • Asmaa’ Ahmad Tirmizi,
    • Puteri kepada Ahmad Tirmizi bin Taha & Karimah binti Yusof merupakan anak kedua daripada 11 orang adik beradik. Beliau telah dilahirkan pada tanggal 29 Jun 1999 di Kuala Terengganu. Beliau senantiasa komited dan istiqamah dengan bacaan dan hafazan al-Quran. Ia adalah bertepatan dengan motto yang dipegang iaitu Dunnya Hasanah Wal Akhirati Hasanah.

  • Nur Sabrina binti Ramli
    • Anak bongsu daripada 5 orang adik beradik ini telah dilahirkan pada tanggal 27 Januari 2000 di Kuala Terengganu. Tinggalkanlah maksiat kerana ilmu itu cahaya, dan cahaya Allah tidak memberi petunjuk kepada pelaku maksiat adalah sumber inspirasi kepada adik Nur Sabrina Ramli dalam usaha mencari keredhaan dan petunjuk dari Allah SWT.

  • Nur Fazreen Wahidah binti Amran
    • Anak kepada pasangan Mazinah bt Hamzah & Amran bin Omar ini merupakan anak kedua daripada 4 orang adik beradik telah mencapai tahap bacaan dan hafazan yang baik. Selain aktif dalam bidang akademik (dan hafazan), beliau turut aktif dalam bidang sukan termasuk sukan memanah.

Semoga perkongsian dari kami akan memberi nafas baru dan keyakinan daripada golongan ibu bapa sekalian bahawa institusi pendidikan yang mempunyai aliran tahfiz & akademik mampu melahirkan para pelajar yang berdaya saing dalam bidang akademik, al-Quran serta bidang kokurikulum. InsyaAllah.

Sekalung tahniah kepada para pendidik atas komitmen dan tunjuk ajar yang diberikan kepada anak didik sekalian.

GALERI MAJLIS KHATAM AL-QURAN