Anugerah SAR / Sekolah Terlama Di Terengganu – IB/MTT

TAHNIAH! Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT) atau dikenali dengan nama Institut Berakan (IB) diawal penubuhannya telah menerima satu pengiiktirafan dalam Himpunan Pendidik Terengganu yang berlangsung pada 26 Disember 2015 yang lalu iaitu Anugerah Sekolah Agama Rakyat (SAR) / Sekolah Swasta Terlama di Terengganu.

anugerahsar2015

Inspirasi penubuhan Institut Berakan (IB) adalah hasil cetusan idea lima orang pimpinan pelajar Terengganu dari Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Islam Klang (KIK). Mereka bersepakat untuk menubuhkan satu institusi pendidikan Islam Swasta yang beroperasi di negeri Terengganu Darul Iman. Mereka adalah Ustaz Haji Abu Bakar Chik, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah, Cikgu Safinah Jusoh, Cikgu Raja Endun Raja Abd Rahman, dan Ustaz Abdul Rashid Omar. Mereka merupakan pengasas kepada penubuhan Institut Berakan. Nama berakan memberi erti berkawan atau dalam dialek terengganu, bersain.

IB ditubuhkan pada 20 September 1976 dan didaftarkan secara rasmi dengan Pejabat Pelajaran Terengganu pada 16 Januari 1977. IB mula beroperasi secara rasminya pada 4 April 1977.

Menelusuri detik hitam dalam lipatan sejarah IB, pada 19 November 1991, kira-kira 800 orang pelajar dan puluhan guru serta kakitangan telah kehilangan tempat menuntut ilmu dan mencari rezeki apabila bangunan IB yang telah beroperasi sejak 1977 itu telah dirobohkan. Namun, atas semangat dan kesungguhan yang tinggi, IB telah berpindah dan memulakan operasi terbaru di sebuah bangunan yang disewa di Hiliran.

Masa terus berlalu, pihak pentadbiran Institut Berakan telah menerima sebidang tanah yang telah diwakafkan oleh Haji Salleh bin Mat Zin,iaitu bapa mertua kepada Ustaz Abu Bakar Chik untuk dijadikan tapak baru IB yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT).

MTT terus bergerak seiring dengan sistem pendidikan kebangsaan yang terus mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Perubahan yang secara tidak langsung menaikkan imej dan nama IB/MTT dalam memartbatkan sistem aliran tahfiz dan akademik di Terengganu amnya dan di Malaysia khususnya.

Alhamdulillah… semoga dengan pengiktirafan yang diberi akan terus memberi suntikan semangat kepada para pendidik di MTT untuk terus menabur bakti dan bersama-sama meningkatkan kualiti dan nama IB dan MTT secara keseluruhannya.

Advertisements